Isnin, 22 Mac 2010

TENUNAN SONGKET

Sejarah Songket

1. Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
2. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
3. Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
4. Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang.
5. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.
6. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
7. Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
8. Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenuna atau kek, motif dan ragamhiasnya sera cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.


Motif

1. Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain.
2. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.
Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan.
3. Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.
4. Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan.
5. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric.
6. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak.
7. Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.
8. Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).
Susunan Motif Songket

1. Susunan bunga penuh


corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.

2. Susunan bunga tabur


corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.

3. Susunan bercorak


susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.

Proses Tenunan Songket


Kek Tenun
Bahan dan Alat

Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.

Teknik dan Proses

Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.

1. Melerai

Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing

Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.

3. Menggulung

Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.

4. Menyampuk

Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

5. Menghubung

Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.


6. Mengarak

Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.

7. Menyolek

Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.

8. Menenun

Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.
SENI TEKAT

Pengenalan


Seni tekat dikenali juga dengan nama bersuji. Menekat merupakan kerja menyulam benang emas ke atas kain dasar (jenis baldu). Kerja-kerja menekat memerlukan pemidang untuk meregangkan kain baldu, mempulur sebagai acuan motif dan benang emas untuk membentuk bunga tekat.

Sejarah dan Perkembangan

Asal-usul dan perkembangan tekat secara langsung dikaitkan dengan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Perkembangan awal seni tekat dapat dikesan pada awal kurun ke-15, iaitu semasa zaman keagungan Sultan Melayu Melaka. Kesan penggunaan sulaman dapat dilihat di kalangan masyarakat Cina yang keturunan Baba Melaka. Mereka menggunakan sulaman tekat untuk pakaian-pakaian mereka.

Hingga ke hari ini seni tekat masih dihasilkan oleh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan dan Negeri Sembilan Darul Khusus. Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan negeri yang banyak sekali mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas. Terdapat beberapa jenis tekat yang dikerjakan oleh pandai tukang menekat. Antaranya ialah tekat timbul benang emas, tekat gubah dan tekat perada.

tekat digunakan semasa upacara perkahwinan
Fungsi tekat


Ia hanya digunakan untuk istiadat dan upacara tertentu. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, upacara peminangan, kelahiran, berkhatan, berkhatam Quran dan seumpamanya. Di kalangan kerabat diraja, tekat merupakan pakaian kebesaran dan hiasan seharian. Penggunaannya di kalangan masyarakat biasa agak terbatas kerana bahan asasnya merupakan bahan mewah.

Penciptaannya juga memerlukan waktu yang lama dan hasilnya yang indah memerlukan penjagaan yang rapi apabila digunakan.

Peranan Institusi dan Istana

Pada masa dahulu, istana merupakan penggerak utama pertumbuhan kraf seni tekat. Ramai pandai-pandai tukang tekat dijaga oleh pihak istana. Ini adalah kerana kelengkapan istana memerlukan tekat benang emas. Tekat benang emas menampakkan kemewahan dan keagungan. Ramai pandai tukang pada masa itu membuat tekat untuk kegunaan istana. Secara langsung istana telah menggalakkan kraf tangan seni tekat. Setelah wujudnya Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, perusahaan menekat dimajukan lagi dengan program-program latihan, promosi, ciptaan yang baru, galakan pengeluaran dan menjual hasil ke luar negara. Tekat terus berkembang dengan hasil mutunya yang terjamin. Promosi yang dijalankan pada masa sekarang oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan industri pelancongan telah mendorong tukang sebu untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan yang lebih bermutu dan berterusan. Secara langsung, kehalusan dan keunikan seni tekat dapat membantu memperkenalkan mutu seni tersebut kepada masyarakat tempatan dan pelancong luar.

Tokoh Tekat

1. Ahdijah bt. Hasim

Ahdijah b. Hasim adalah seorang tokoh kraftangan tekat yang telah dipilih oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Adiguru kerana kepakaran dalam bidang tekat. Beliau mula belajar menekat daripada Ibunya bernama Anatishaah bt. Bilai Din juga seorang tokoh tekat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga banyak menerima tempahan tekat antaranya ialah daripada Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor dan Baju penabalan Yang Di Pertuan Agong.



2. Hajah Azizah bt. Mohd Yusof

Hajah Azizah berasal dari Kg. Panang Changkat, Bukit Candan, Kuala Kangsar Perak. Kemahiran menekat adalah di warisi dari ibu dan warisan keluarga sejak turun temurun. Sekarang beliau menumpukan sepenuh masa dalam perusahaan menekat. Sebelum ini beliau adalah seorang jurulatih di Perbadanan Kraftangan Cawangan Perak. Beliau pernah mewakili negara ke Jepun, Arab saudi dan Brunei untuk membuat demontrasi menekat.

Jenis-jenis Tekat.

1. Tekat Timbul Bunga Emas

Tekat ini menggunakan mempulur sebagai awan untuk membentuk corak motif. Mempulur ialah kertas keras yang dipotong dan ditebuk mengikut corak motif. Sulaman benang emas akan menutupi mempulur di atas kain baldu.

2. Tekat Gubah

Tekat gubah tidak menggunakan mempulur sebagai corak gubahan. Pandai tukang hanya menyulam dan membentuk corak motif melalui benang merah yang dipanggil benang untina. Hiasan corak tekat gubah diiringi dengan labuci dan manik-manik. Kain dasar tekat gubah adalah dari kain biasa. Kegunaan gubahan tekat ialah menghiasi tudung saji, tepak sirih, kasut pengantin, sejadah, penutup pahar, peralatan upacara perkahwinan, lemudi pintu, pakaian diraja dan sebagainya.

Proses Menekat

* Bahan asas penting untuk mencipta tekat ialah benang emas, benang putih dan kain dasar dari jenis kain baldu. Di samping itu terdapat juga bahan dari rotan sega, kertas tebal dan kanji (gam) yang digunakan untuk mempulur. Penggunaan mempulur akan menjadikan bentuk sulaman timbul.


* Proses pertama ialah membentuk empulur. Bentuk motif dilukis di atas beberapa helai kertas yang dilekat tindih antara enam hingga lapan helai. Kemudiannya bentuk motif ini dipotong dan diasingkan. Lebar tiap-tiap batang mempulur kertas dibuat antara 0.5 sentimeter dan 0.25 sentimeter. Mempulur daripada kertas digunakan untuk membentuk motif tumbuhan dengan gaya organik. Corak yang terhasil daripada mempulur rotan sega bercorak banji atau corak kisi-kisi dan corak dangai atau catur.


* Seterusnya, kain dasar yang tebal tetapi lembut daripada jenis baldu yang berbulu halus dan berkilat ditegangkan pada pemidang kayu. Kain baldu yang selalu digunakan daripada warna gelap seperti merah pulasan, merah tua, ungu, hijau tua dan hitam. Pemidang kayu pula ada dua jenis iaitu pemidang berkaki dan tanpa kaki. Ukuran pemidang bergantung kepada reka bentuk yang diingini. Baldu yang ditegangkan pada pemidang disambungkan dengan kain putih yang diikatkan ke bingkai pemidang. Oleh itu, baldu akan menjadi tegang.
* Selepas itu, benang emas akan ditindih dan diikat jahit oleh benang putih melalui jarum yang sedang matanya. Ukuran jarum menentukan ikatan supaya tidak meninggalkan kesan lubang pada kain dasar. Jarum akan dicucuk agak ke dalam dari bawah batang mempulur. Ikatan benang putih mestilah ketat dan kukuh. Setiap kali merentas, benang-benang emas haruslah disusun rapat-rapat supaya batang mempulur tidak kelihatan dari atas. Dengan ini sulaman akan kelihatan lebih teratur dan kemas.

* Tekatan dibuat sehingga seluruh bentuk mempulur tertutup oleh sulaman. Pada bahagian cantuman benang ataupun pada ruang yang tertinggal kosong ditutup dengan kertas emas atau labuci.

Ahad, 14 Mac 2010

Nota Anyaman PSV

ANYAMAN MENGKUANG DAN PANDAN

hasil anyaman pandan

Pandan dan mengkuang tumbuh subur di tepi-tepi alur, paya, sungai dan kawasan-kawasan yang menggenangi air tawar di seluruh nusantara. Tidak hairanlah seni menganyam pandan dan mengkuang tersebar luas. Dengan itu, pelbagai barangan dapat dihasilkan daripada anyaman pandan dan mengkuang. Pandan dan mengkuang adalah tumbuhan daripada spesis yang sama. Daun mengkuang lebih lebar, tebal dan panjang daripada daun pandan. Oleh yang demikian, biasanya mengkuang digunakan untuk menganyam benda-benda yang lebih besar dan kukuh berbanding dengan benda-benda yang diperbuat daripada pandan. Namun begitu, bilah anyaman mengkuang tidak semestinya lebih lebar daripada bilah anyaman pandan


Kelebaran bilah anyaman dikaitkan dengan kehalusan hasil kerja, lebih kecil bilah, lebih halus hasil kerjanya. Hasil kraf yang halus pembuatannya mempunyai nilai hiasan yang tinggi. Sebaliknya, hasil kraf yang kasar lebih menekankan ciri fungsional. Tikar mengkuang yang lebar anyamannya biasanya digunakan untuk menjemur padi, mengalas lantai dapur atau jemuran dan sebagainya. Tikar yang dianyam untuk kegunaan demikian tidak dicelupkan warna, berlainan daripada tikar yang dikhaskan untuk tetamu. Tetamu dibentangkan tikar yang bukan sahaja halus anyamannya malah bercorak dan berwarna-warni.

Memproses Bahan

Daun-daun yang cukup tua ditetak di pangkalnya sehelai demi sehelai, bermula di bahagian umbi pokok. Tujuh atau lapan helai daun muda di keliling umbut pokok tidak ditetak tetapi ditinggalkan untuk tuaian seterusnya serta untuk memastikan pokok itu terus hidup dan mengeluarkan daun-daun baru. Menetak daun dilakukan dengan berhati-hati kerana pandan dan mengkuang berduri-duri, sedangkan tanah dikeliling perdunya lazimnya berair dan licin atau mudah perlus. Daun-daun yang sudah ditetak kemudian dipangkas hujungnya untuk membuang bahagian yang tirus dan tidak dapat dibelah, serta supaya semua daun itu hampir sama panjang. Seterusnya, daun-daun tersebut dilayur di atas bara unggun api kecil hingga layu.


Kadangkala daun-daun itu tidak dilayur tetapi dijemur hingga benar-benar kering dan layu. Tujuannya ialah mematikan sel daun dan menyingkirkan air yang terdapat di dalamnya. Setelah daun-daun itu layu, duri yang terdapat pada tulang belakang dan sayap mengkuang dibuang dengan sautas serat sabut yang diregangkan ibu jari dan jari telunjuk. Apabila duri belakang daun dibuang, dengan sendirinya daun terbelah menjadi dua. Belahan itu kemudian dibelah lagi mengikut kelebaran yang dikehendaki dengan alat yang dipanggil jangka. Belahan-belahan yang siap dijangka dikumpulkan dan diikat sebesar betis dengan jarak kira-kira satu kaki dari satu ikatan ke satu ikatan lain. Belahan yang berikat itu dititik atau dipukul dengan alu supaya lembut dan mudah dilurut.

Melurut melembutkan belah dan melicinkan permukaannya. Belah yang sudah dilurut dilipat tetapi tidak sampai patah lalu diikat dan direndam di dalam air selama dua atau tiga hari. Dalam tempoh itu, air rendaman digantikan sekurang-kurangnya dua kali supaya bilah-bilah itu tidak lebam dan berbau busuk.


daun pandan

Pada hari ketiga atau keempat, bilah-bilah itu dikeluarkan dan dibasuh dan dibilas hingga bersih sebelum dijemur. Bilah yang cukup kering akan bertukar menjadi putih. Seterusnya, bilah itu bolehlah diwarnakan jika mahu. Bilah-bilah mengkuang atau pandan diwarnakan dengan cara mencelup, iaitu merebusnya bersama bahan celup pewarna selama beberapa minit. Dahulu, cuma tiga warna yang popular iaitu merah, hijau dan kuning kerana bahan celup warna-warna tersebut mudah diperolehi. Warna merah daripada pokok kesumba, hijau daripada daun bemban, dan kuning daripada daun kunyit. Tetapi, sekarang bahan celup pelbagai warna dijual dengan meluas. Apabila sudah dicelup dan dijemur hingga kering, bilah-bilah dilurut bagi kali terakhir supaya lebih licin dan lembut.

Menganyam


Cara anyaman dimulakan bergantung pada jenis benda yang ingin dihasilkan serta corak hiasan yang dipilih. Anyaman tikar misalnya, boleh dimulakan di tengah-tengah ataupun di bucu. Tetapi, bagi tudung saji, anyaman mesti dimulakan di puncaknya yang berbentuk kon. Kon puncak itu boleh digantungkan atau diketengahkan untuk meneruskan anyaman tudung saji

CORAK ANYAMAN TIKAR

Corak lebih menekankan kepada penggunaan susunan warna pada sesuatu anyaman biasa atau ghadas. Warna-warna penting dalam menentukan corak. Corak dijalin secara selang-seli hingga meninggalkan kesan geometri asli. Namanya akan berbeza jikan dianyam dalam bentuk, ukuran dan susunan yang berlainan. Terdapat 11 corak yang dianyam iaitu:

1. Corak Tapak Catur – seringkali dianyam dalam dua atau tiga warna. Hasil cantuman warna cerah dan gelap

2. Corak Mata Bilis – menggunakan warna teang dan gelap. Warna gelap dianyam satu mata sahaja dengan warna cerah. Kedua-dua warna ini timbul seakan-akan beras patah.

3. Corak Beras Patah – menyerupai corak mata bilis tetapi warna cerah dianyam tiga mata diselangi dengan satu mata gelap. Hasil cantuman ini member gambaran seakan-akan beras patah.

4. Corak Palembang – berasal dari Palembang. Petak empat segi atau biji kundang dianyam dengan warna hijau dan dikelilingi jalur-jalur dua warna iaitu merah dan putih.

5. Corak Bugis – berasal dari Bugis dan penggunaan dua warna yang berdekatan hijau dan putih. Petak-petaknya lebih kecil dari corak Muar serta dianyam dalam bentuk berdiri dan serong.

6. Corak Muar – berasal dari Muar dan bermotif empat segi. Anyaman dua warna merah dan biru serta dikelilingi dengan jalur-jalur putih, hijau dan kuning. Antara petak-petak digunakan adalah campuran merah dan biru.

7. Corak Selang-seli – penggunaan warna gelap dan cerah. Kedua-dua bahagian dianyam mata sama banyak dan selari.

8. Corak Berdiri – kurang mendapat sambutan dari pengusaha. Penggunaan dua warna tetapi untuk mendapatkan corak yang betul-betul lurus amat sukar.

9. Corak Serong – corak yang mudah. Bermacam kelarai boleh dianyam melalui contoh ini serta amat digemari oleh para penganyam.

10. Corak Ketapang Gilir Kacang – seakan-akan corak selang-seli dan susunan yang rapat. Dianyam dengan dua warna iaitu cerah dan gelap.

11. Corak Malaysia – corak selang-seli, dikelilingi dengan warna merah, putih, hijau dan biru


ANYAMAN BULUH



ANYAMAN BULUH

Buluh merupakan salah satu spesis rumput, sama seperti lalang, jagung dan padi. Buluh yang kadang-kadang disebut bambu atau aur, tumbuh dan membiak dengan mudah di kebanyakan kawasan tropika dan subtropika. Di negara kita terdapat berbagai-bagai jenis buluh. Antaranya buluh akar, buluh batu/tumpat, buluh betung, buluh cina, buluh duri, buluh gading, buluh kasap, buluh minyak/padang, buluh peleting, buluh perindu dan buluh sembilang.

Bagi masyarakat peribumi di nusantara, buluh mempunyai seribu satu kegunaan iaitu sebagai baur kail atau joran, baur panah, bekas membakar lemang, bilah kipas, bilah serkap, galah, pagar, ranting dan batang payung, rakit, sangkak, seligi, sigai, sudip, tabung, tuar, tukil dan sebagainya. Hasil anyaman buluh pula termasuk bakul, dulang, nyiru dan tudung saji. Jenis buluh yang biasa ialah buluh akar, buluh betung, buluh minyak dan buluh gading.

Memproses Bahan


Hanya buluh yang sudah cukup tua digunakan dalam kerja kraftangan. Buluh yang dipilih dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Berikut adalah langkah memproses buluh :
Merendam

Mengikut cara tradisional, buluh yang siap dipotong itu kemudian direndam di dalam air asam dan air selut selama seminggu. Tetapi kini cara yang lebih mudah digunakan ialah buluh itu direbus bersama campuran soda. Proses ini bertujuan mengeluarkan kandungan gula yang terdapat di dalam buluh, supaya tidak dimakan bubuk dan tahan lebih lama. Dari segi rupa pula, buluh yang telah direndam sedemikian dianggap lebih cantik dan menarik walaupun berbau masam.

Menyalai
Selepas direndam dan direbus, buluh disalai atau diperasap hingga kering. Kemudian buluh dibelah, disepat (memisahkan kulit daripada isi batang pokok) dan diraut. Kedua-dua kulit dan isi batang yang diraut menjadi bilah boleh digunakan dalam anyaman. Bilah bahagian kulit buluh lebih keras dan sukar dilenturkan jika dibandingkan dengan bilah isi. Oleh itu, bilah bahagian kulit lebih sesuai dijadikan rangka atau tulang hasil kraftangan. Dalam pembuatan nyiru, misalnya, bilah kulit dijadikan bingkai untuk anyaman bilah isi.

Seni Anyaman

Pengenalan

Seni anyaman ialah milik masyarakat Melayu yang masih dikagumi dan digemari sehingga hari ini. Kegiatan seni anyaman ini telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Ini boleh dilihat pada rumah-rumah masyarakat zaman dahulu di mana dinding rumah mereka dianyam dengan buluh dan kehalusan seni anyaman itu masih bertahan sehingga ke hari ini. Rumah yang berdinding dan beratapkan nipah tidak panas kerana lapisan daun nipah yang tebal menebat pengaliran haba.

Seni anyaman dipercayai bermula dan berkembang tanpa menerima pengaruh luar. Penggunaan tali, akar dan rotan merupakan asas pertama dalam penciptaan kraftangan anyaman yang telah menjadi usaha tradisi sejak berabad-abad lalu. Bahan-bahan asas tumbuhan ini tumbuh meliar di hutan-hutan, paya-paya, kampung-kampung dan kawasan di sekitar pasir pantai.

Pelbagai rupabentuk kraftangan dapat dihasilkan melalui proses dan teknik anyaman dari jenis tumbuhan pandanus (pandan dan mengkuang). Bentuk-bentuk anyaman dibuat didasarkan kepada fungsinya. Misalnya bagi masyarakat petani atau nelayan, kerja-kerja anyaman dibentuk menjadi bakul, topi, tudung saji, tikar dan aneka rupa bentuk yang digunakan sehari-harian.

Selain daripada tumbuhan jenis pandanus, bahan asas lain yang sering digunakan ialah daripada tumbuhan bertam, jenis palma engeissona tritis dan nipah. Berdasarkan bahan dan rupa bentuk anyaman yang dihasilkan, seni anyaman ini merupakan daya cipta dari kelompok masyarakat luar istana yang lebih mengutamakan nilai gunaannya. Walau bagaimanapun pada sekitar tahun 1756 hingga1794 telah terdapat penggunaan tikar Raja yang diperbuat daripada rotan tawar dan anyaman daripada bemban.

Proses menganyam disebut juga sebagai "menaja". Untuk memulakan satu-satu anyaman waktu yang baik ialah pada sebelah pagi atau malam. Dalam keadaan cuaca yang redup atau dingin, daun-daun lebih lembut dan mudah dibentuk tanpa meninggalkan kesan-kesan pecah. Biasanya beberapa orang melakukan anyaman ini berkelompok di halaman rumah atau beranda rumah pada waktu malam, petang atau waktu-waktu senggang pada sebelah pagi (jika kelapangan, kerana waktu pagi biasanya dipenuhi dengan kerja-kerja tertentu).

Rupa bentuk anyaman tradisi yang masih kekal penciptaan dan fungsinya hingga kini ialah tikar. Selain tikar yang datar dengan sifat dua dimensi, terdapat rupa bentuk anyaman tiga dimensi. Bentuk-bentuk anyaman begini biasanya digunakan oleh masyarakat pada masa dahulu untuk mengisi atau menyimpan bahan-bahan keperluan hidup dan kegunaan seharian. Beberapa daripada rupa bentuk ini ialah bakul, kampit (bekas belacan), tudung saji, kembal (rombong) dan sebagainya.

Terdapat dua ciri-ciri penting dalam ragam hias anyaman, iaitu penciptaan kelarai (motif) dan corak. Istilah kelarai dikhususkan kepada motif yang "berbentuk" (selalunya unsur alam) sementara corak dimaksudkan kepada susunan warna tanpa memperlihatkan kepada susunan warna dan bentuk motif. Anyaman tanpa kelarai disebut sebagai "gadas". Terdapat kira-kira 51 jenis kelarai yang berdasarkan unsur-unsur alam semulajadi seperti unsur-unsur tumbuhan dan binatang.

Di sesetengah tempat kelarai dimaksudkan kepada anyaman yang diperbuat daripada buluh dan digunakan sebagai dinding atau penyekat ruang rumah. Sementara di sesetengah tempat lain anyaman seperti ini diperbuat daripada bahan bertam yang disebut sebagai tupas. Ciptaan kelarai atau tupas lebih kukuh, tegas dan kasar bersesuaian dengan fungsinya sebagai penyekat ruang. Tiada bukti yang jelas untuk menetapkan tarikh bermulanya penciptaan kelarai. Melalui kajian yang dibuat dapat dikatakan bahawa penciptaan kelarai dalam anyaman merupakan satu perlakuan yang telah lama berlaku.

Bunga sulam merupakan satu teknik yang terdapat dalam ragam hias anyaman di mana ia akan mencantikkan lagi hasil yang telah dibentuk. Teknik sulam adalah teknik susun susup. Kesan bentuk bunga yang dibuat lebih merupakan kesan geometri asas seperti susunan bentuk tiga, segi empat, potong wajik dan sebagainya lagi.

Seni kerja tangan anyaman adalah sesuatu yang unik lagi rumit buatannya. Namun begitu, usaha untuk mempertahankan keunikan seni ini haruslah diteruskan agar tidak ditelan peredaran zaman. Budaya negara bukan sahaja dicerminkan melalui bahasa pertuturan dan adat resam bangsanya tetapi juga dicerminkan melalui kehalusan kerja tangan bermutu tinggi. Seni warisan yang unik ini wajar diberi perhatian, sokongan dan bantuan supaya dapat terus dipelihara dan dimanfaatkan bersama.

Zaman dahulu menganyam tikar, Sunyi menyepi desa terpinggir, Seni anyaman haruslah diajar, Jangan tinggal sebutan dibibir. Buluh muda mudah dilentur, Buat ampaian penyidai jala, Semangat juang belum luntur, Seni anyaman jangan dilupa.
BAHAN ANYAMAN
Rotan

Antara teknik pengeringan rotan adalah dengan menyandarkan batang rotan pada palang jemur. Rotan merupakan bahan yang paling digemari kerana rotan tahan lama dan mudah dibentuk. Rotan, buluh dan lidi sering dijadikan sebagai bakul, lekar dan berbagai-bagai bentuk bakul atau alat-alat menangkap ikan.


Pohon Mengkuang

Mengkuang tumbuh subur di kawasan berair tawar. Biasanya ia subur di lopak-lopak belukar atau kawasan bakau dan kawasan sawah padi yang lembab. Pohon mengkuang lebih tinggi daripada pohon pandan, tetapi mengkuang mempunyai dahan bercabang yang sedikit jika dibandingkan dengan pohon pandan. Daun mengkuang lebih kasar dan hasil anyamannya kelihatan lebih kasar dan keras.
Buluh

Antara buluh yang sering digunakan ialah buluh akan, buluh bentung, buluh minyak dan buluh gading. Buluh yang cukup tua dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki. Mengikut cara tradisional buluh akan direndam di dalam air selut (air tanah) bercampur asam selama satu minggu. Tetapi kini cara yang paling mudah, buluh direbus bersama soda bagi mengeluarkan kandungan gulanya. Namun begitu buluh yang direndam tetap dianggap lebih cantik dan menarik

SENI ANYAMAN

Pengenalan

Anyaman merupakan seni yang mempengaruhi kehidupan dan kebudayaan masyarakat Melayu. Menganyam bermaksud proses menjaringkan atau menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan tumbuh-tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, bilah, pandan, mengkuang dan beberapa bahan tumbuhan lain yang dikeringkan.

Definisi Anyaman


Anyaman bermaksud proses menyilangkan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan untuk dijadikan satu rumpun yang kuat dan boleh digunakan. Bahan-bahan tumbuhan yang boleh dianyam ialah lidi, rotan, akar, buluh, pandan, mengkuang, jut dan sebagainya. Bahan ini biasanya mudah dikeringkan dan lembut.

anyaman dimensi baru

Sejarah dan Perkembangan


Anyaman merupakan seni tradisi yang tidak mempunyai pengaruh dari luar. Perkembangan Sejarah anyaman adalah sama dengan perkembangan seni tembikar. Jenis seni anyaman pada masa Neolitik kebanyakan adalah menghasilkan tali, rumah dan keperluan kehidupan. Bahan daripada akar dan rotan adalah bahan asas yang awal digunakan untuk menghasilkan anyaman. Menurut Siti Zainun dalam buku Reka bentuk kraftangan Melayu tradisi menyatakan pada zaman pemerintahan Long Yunus (1756-94) di negeri Kelantan, penggunaan anyaman digunakan oleh raja. Anyaman tersebut dipanggil ‘Tikar Raja’ yang diperbuat daripada pohon bemban.

Sehingga kini beberapa negeri masih terus aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Antaranya di daerah Rusila, Dungun, Kampung Ru Renggoh, Kampung Kijing, Cendering dan Kuala Ibai di negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang masih terdapat aktiviti anyaman ialah negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah.

bilah rotan
Jenis-jenis Anyaman

1. Anyaman Mengkuang - Daun mengkuang -Tikar, tudung salji, bekas pakaian dan lain-lain
2. Anyaman pandan - Daun pandan duri -Tikar sembahyang, hiasan dinding,
3. Anyaman Buluh - Jenis-jenis buluh yang sesuai - Bakul, bekas pakaian, nyiru, beg dan lain-lain
4. Anyaman Rotan - Rotan yang telah diproses -Bakul, bekas pakaian, tempat buaian anak dan lain-lain
5. Anyaman Lidi - Lidi kelapa-Lekar, bekas buah, bekas telor.
6. Anyaman ribu-ribu-Paku pakis ribu-ribu.-Tempat tembakau, bekas sirih terbus, bakul, bekas seba guna dan lain-lain.


Tokoh Anyaman Pandan dan Mengkuang

Puan Aminah binti Ali

Puan Aminah dilahirkan pada tahun 1944. Berasal dari Rusila Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Puan Aminah merupakan tokoh kraf anyaman yang telah dipilih oleh Lembaga Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1982 beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Pertukangan tangan sezaman anjuran muzium Negara. Hingga kini beliau masih aktif sebagai seorang ahli kraftangan anyaman.

Lain-lain tokoh yang telah mencipta motif anyaman:

i. Cik Siah bt Jumaat berasal dari negeri Terengganu mencipta kelarai Sambas
ii Hajah Asiah bt. Salleh dari negeri Terengganu mencipta kelarai Tapak harimau
iii Hajah Semek dari negeri Terengganu mencipta kelarai Mak Mek
iv. Esah bt Said dari negeri Kelantan mencipta kerai Sisik Kelah.
v. Dayang Aisah bt. Awang Husin dari negeri Sabah mencipta kelarai bunga

Sabtu, 13 Mac 2010

Nota Batik PSV

BATIK BUATAN MALAYSIA

Asal usul batik masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Ada pendapat yang mengatakan batik berasal dari India dan ada pula mengatakan ia dari Parsi. Pakar arkeologi pula pernah menjumpai cebisan kain berupa batik di Mesir menghiasi pakaian mereka dengan teknik menyerupai batik pada tahun 70 masehi lagi.

Namun para pengkaji mempercayai ia berasal dari kepulauan Melayu dan bahawa terdapat pemikiran di antara Asia Tenggara dan India pada zaman dahulu yang membawa batik menjelajah ke benua lain. Terdapat juga kemungkinan bahawa batik tiba di Mesir dari kepulauan Melayu melalui India memandangkan seni mengecap lilin ke atas kain kain adalah seni warisan Melayu berdasarkan rumusan pengkajian sejarahwan Winstedt dan Skeat.

Seni begini tidak pernah terdapat dalam tradisi budaya India.Teori ini diperkuatkan dengan perkataan batik itu sendiri berunsurkan Melayu dan Jawa iaitu titik dan amba (tulis).

Pendapat mengenai asal-usul batik bukan sahaja berdasarkan nama tetapi juga berdasarkan kepelbagaian teknik. Batik Pelagi misalnya, menggunakan teknik ikat celup dikenali di Malaysia dan di Indonesia sebagai pelangi atau titik yang mengambil kira kepelbagaian warna pelangi.

Definisi batik dipercayai berasal daripada Indonesia yang mana diambil daripada perkataan Melayu untuk titik dan Jawa 'mba' ertinya menulis. Oleh itu batik bererti menulis titik-titik yang dimaksudkan di sini sama ada berupa titik-titik dalam ertikata sebenar atau berupa bunga-bunga dan lain-lain motif kecil di atas permukaan kain. Kemudian, teknik untuk mewujudkan motif-motif itu bergantung pada zaman dan ruang.

Perusahaan batik di Malaysia dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin serta Batik Pewarnaan Asli, dan setiap satunya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri. Melihatkan kepada ciri-ciri versatile pada tekstil ini, batik ditampilkan dalam pelbagai guna seperti fesyen tradisional dan kontemporari mahupun aksesori tambahan serta hiasan dalaman. Batik melihatkan kelainan mengikut pilihan kain yang digunakan seperti kain kapas, kain sutera, campuran kain sutera dan kain kapas, kain rayon, kain voile, kain organza mahupun kain chiffon. Kehalusan jahitan sulaman serta jahitan manik yang disuaipadankan pada batik menyerlahkan lagi keanggunan pemakai.

2. JENIS-JENIS BATIK
Batik adalah seni kraf tekstil tradisi Melayu yang masih unggul hingga ke saat ini, dan ianya berpotensi menembusi pasaran antarabangsa. Corak dan kombinasi warnanya yang tidak lekang dek peredaran fesyen antarabangsa tanpa meninggalkan ciri tradisi tetap menjadi pilihan.
Terdapat beberapa teknik menghasilkan batik. Antara teknik utama ialah Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin dan Batik Perwarnaan Asli.

2.1 BATIK BLOK

Batik Blok dikenali juga sebagai Batik Terap atau Batik Pukul merupakan salah satu daripada seni kraf buatan tangan tradisional yang terkenal di Malaysia.Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan penerapan warna. Sejarah

perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke-15 Masihi dan ianya terus berkembang terutama selepas tamat Perang Dunia Kedua.

Pengusaha batik di Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya dan ianya melambangkan kerja tangan masyarakat tempatan.

Di Malaysia, teknik terawal yang diperkenalkan ialah Batik Blok. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang acuan kayu dengan menerap sejenis pewarna hitam dan teknik awal ini dikenali sebagai 'terap hitam'.Pada tahun 1930 an, penggunaan lilin dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di pantai Timur. Sejajar dengan itu, acuan yang diperbuat daripada kepingan keluli mula digantikan dengan acuan kayu sebelumnya.

Corak-corak acuan ini lebih kemas dan halus buatannya.Acuan khas disediakan untuk menerap lilin pada sarung di bahagian kepala kain, kapit kain, badan kain dan kaki kain.

Batik Blok adalah adaptasi daripada unsur alam semulajadi. Kebanyakannya berdasarkan kepada flora dan fauna. Corak flora dipilih daripada bahagian-bahagian tumbuhan yang ditiru berasaskan bentuk bunga. Gubahan motif dan corak direka secara realistik, abstrak dan stilisasi dalam bentuk geometrik atau organik.

Antara motif flora yang digunakan untuk mencorak batik ialah pucuk rebung, pohon ara, bunga tampuk manggis, bunga mangga, bunga cempaka, bunga buluh, bunga maman, bunga kerak nasi, bunga berbaling, bunga raya, daun keladi, bunga kenaga dan beberapa lain lagi. Manakala bagi motif fauna yang popular ialah seperti jaring ikan dan ayam.

2.2 BATIK TULIS

Pengeluaran komersil Batik Tulis di Malaysia hanya bermula sekitar tahun 1960 an dan memuncak pada awal tahun 1990 an. Pengeluarannya tidak lagi tertumpu kepada Kelantan dan Terengganu, malah telah berkembang ke bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Pekan di Pahang dan Sabah.


Batik Tulis dipercayai warisan dari batik Kraton, Jawa. Sungguhpun dihasilkan menggunakan kaedah yang sama iaitu lakaran canting, wujud perbezaan dari segi ciri-ciri rekaan malah juga estetik dan teknik pengeluran antara kedua-duanya.

Batik Tulis juga dikenali sebagai Batik Canting. Ianya diperbuat daripada pelbagai jenis kain termasuk kapas, rayon, voile dan sutera. Ragam hiasnya terdiri daripada motif tumbuh-tumbuhan serta corak geomatrik. Reka coraknya juga mempunyai pelbagai susunan mengikut permintaan semasa.

Pengeluaran Batik Tulis dibuat dengan menggunakan canting. Canting merupakan bekas tembaga kecil bagi menakung lilin cair yang panas didalamnya serta mempunyai saluran kecil yang dapat mengeluarkan lilin cair. Ia mempunyai pemegang supaya mudah digunakan. Canting disikan dengan lilin panas dan dilukiskan melalui hujung saluran canting ke atas kain yang telah diregangkan di atas pemidang mengikut rekacorak yang dikehendaki. Kain yang telah dicanting diwarnakan, dikeringkan, dimatikan warna dan direbus bagi mengeluarkan lilin sebelum dikeringkan sekali lagi.

Terdapat lima jenis canting iaitu canting burung, canting kasut, canting periuk, canting bola dan canting pelbagai mata.

Pengenalan teknologi dalam pengeluaran Batik Tulis ialah I.C.A.T.S. Ia merupakan nama singkatan dari Sistem Tjanting Bersepadu Berbantukan Komputer - Integrated Computer Aided Tjanting System. Ia satu sistem peralatan yang menjalankan proses tjanting secara automatik. I.C.A.T.S terbahagi kepada dua sistem komputer iaitu Sistem Komputer Rekaan dan Sistem Komputer Kawalan I.C.A.T.S.

Ia membolehkan lukisan bebas digunakan, yakni sesuai untuk mereka corak-corak seperti bunga, daun dan sebagainya. Lukisan dan simbol boleh dilukis dan disimpan di dalam komputer untuk tujuan membangunkan satu khazanah corak-corak.

Antara ciri-ciri yang terdapat pada perisian ini adalah kemudahan potong dan tampal sesuatu corak yang sedang dibuat.

2.3 BATIK SKRIN

Batik Skrin dibuat dengan mengunakan blok skrin. Blok skrin disediakan berasaskan rekacorak yang dikehendaki. Bilangan blok yang disediakan bergantung kepada bilangan warna kain yang dikehendaki di mana setiap blok skrin boleh dicetak satu warna.

Di dalam proses penyediaan blok skrin secara manual, rekaan diambil gambar,filem dicuci, dibuat pengasiangan warna dengan memotong dan menampalkan filem di atas plastik.

Ia seterusnya didedahkan kepada cahaya di atas kain sutera saring yang diregangkan di atas bingkai dan telah disapukan dengan photo emulsion di atasnya.

Kemudian blok skrin itu dibersihkan bagi menghasilkan rekaan di atasnya. Blok skrin yang telah disediakan, digunakan untuk mencetak kain dengan pewarna yang dikehendaki di atas meja skrin. Kain yang telah dicetak dikeringkan dan dimatikan warnanya sebelum dibasuh dan akhirnya dikeringkan semula. Percetakan kain boleh diulang beberapa kali bergantung kepada bilangan warna yang dikehendaki.

Satu pendekatan baru yang berkonsep teknologi maklumat yang dirancang oleh Kraftangan Malaysia, khasnya di Kraftangan Malaysia Cawangan di Kelantan dengan memperkenalkan System Atex Design iaitu proses perisian menghasilkan rekacorak batik secara pengendalian komputer yang dijangka akan mempercepat proses pengeluaran dan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

Kelebihan proses Atex Design berbanding proses rekaan skrin secara manual. Cara ini dapat menghasilkan rekaan dengan baik dan cepat. Proses grafik juga dapat dilakukan dengan cepat dan mudah.



2.4 BATIK PEWARNAAN ASLI

Pengenalan semula penggunaan warna asli daripada tumbuh-tumbuhan tempatan merupakan satu alternatif dan berkonsep mesra alam.Pengembalian semula kaedah ini wujud atas kesedaran masyarakat tempatan tentang budaya sihat dan mesra alam.

Batik Pewarnaan Asli turut mengaplikasikan pelbagai teknik untuk menghasilkan kreativiti batik yang berlainan ragam iaitu kombinasi teknik ikat iaitu gabungan tie and dye dengan blok dan batik lukis & tie and dye dengan skrin.

3. PENJAGAAN BATIK

Batik memerlukan penjagaan yang mudah. Kaedahnya, bagi cucian pertama batik,adalah digalakkan supaya digunakan cara cucian kering (dryclean) dengan kos kurang RM10 bagi sepasang baju. Tujuannya ialah untuk menjaga kilatan

pada batik. Pilihan lain, batik boleh dicuci terus tetapi cucilah berasingan dengan cucian yang lain dan hendaklah dijemur di tempat redup dan tidak terdedah kepada matahari bagi menjaga ketahanan batik.

Manakala untuk memudahkan batik digosok, penggunaan semburan pelembut pada batik adalah baik untuk diamalkan.

4. SERAMAI 320 USAHAWAN BATIK BERDAFTAR DENGAN KRAFTANGAN MALAYSIA

Di Malaysia terdapat seramai 320 usahawan batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia yang bergiat aktif dalam pengeluaran batik. Secara keseluruhannya, Negeri Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai jumlah pengusaha tertinggi dalam pengeluaran batik. Namun begitu,perusahaan batik turut juga berkembang di setiap negeri di Semenanjung juga di Sabah.

Ahad, 7 Mac 2010

Balik Kampung Lagi


Hari ini saya balik lagi ke kampung Kg Betong Johol N.Sembilan. Sampai sahaja saya terus masuk kebilik emak. Mak dah mandi lom? tegur saya bila lihat mak terbaring diatas katil. Baru mandi..nak makan pulak ni..Lega rasa hati mak sehat hari ni. Tiada rajuk dan gudah dari muka emak. Saya baring di sisi mak..saya raut wajahnya..kulit yang dulu terik dan merah dek panasan peluh kering retak seribu. Wajah yang satu ketika cantik dan anggun dalam meniti usia mudanya. Menjadi sebutan dan usikan anak teruna pada zamanya. Arwah abah ada bercerita kepada kami adik beradik, emak dulu menjadi rebutan arwah abah dengan seorang pemuda kampung. Ketika arwah abah terlibat dengan buruh keretapi maut di Thailand, emak setia menanti. Walau ada mulut sumbang yang menyatakan bahawa arwah abah telah terbunuh ditembak Jepun mak buat tak tahu. Baginya hanya jasad arwah abah menjadi bukti. Ah..bertapa teguhnya sayang emak pada arwah abah. Cinta mak pada arwah abah hingga akhir hayat, bagaimana pula cinta saya dengan isteri saya. Buat isteri tercinta Hjh Norazmah Bt Mohd Yusof saya ingin meminta maaf jika selama ini banyak mementingkan diri saya sahaja. Sejak kita berkahwin belum pernah sekali pun kita beraya bersama keluarga di Seremban. Namun saya pernah membuat permintaan kepadanya iaitu biar lah saya menghabiskan waktu ini bersama emak yang semakin uzur. Saya juga mengizinkannya untuk berhari raya bersama keluarga tetapi beliau masih juga menyambut bersama saya di Kg. Betong ini. Terima kasih Norazmah kerana memahami situasi ini, jika orang lain yang berada ditempat itu..entahlah.. Terima kasih juga kerana sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dalam melayari gelombang kehidupan bersama anak tersayang Najwa Shakirah dan Muhammad Najmi. Saya peluk emak lagi, badan yang dulu gagah membanting tulang untuk suami dan anak-anak lesu dan tidak bermaya. Namun balik saya ini bukan balik kosong, ada hajat yang ingin saya sampaikan. Ada perkara yang perlu saya dapatkan restunya. Bagi saya hanya restu dan doa emak sahaja yang menjadi senjata akhir saya dalam menghadapi rintangan dalam kehidupan selain dari ALLAH.