Rabu, 28 Julai 2010

Fatwa ESQ sesat

Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan Share
Inilah Fatwa Mufti Malaysia tentang Kesesatan ESQ

Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman Yang Seumpama Dengannya

(a) Ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Agustian dan apa‑apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran‑ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam. Ciri‑ciri penyelewengan tersebut adalah seperti yang berikut:

(i) mendukung fahaman liberalisme iaitu memahami atau mentafsir nas‑nas agama (Al-Quran dan as‑Sunnah) secara bebas, dan fahaman pluralisme‑agama iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar. Kedua‑dua fahaman ini adalah sesat dan boleh membawa kepada kekufuran.

(ii) mendakwa bahawa para Nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman dan pencarian. Ini bercanggah dengan akidah Islam tentang Nabi dan Rasul. Menurut akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah SWT semata‑mata (Al-Isthifaiyyah), dan bukan sesuatu yang boleh diusahakan (Al-Kasbiyyah),

(iii) mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam. "SQ" adalah hasil penemuan seorang Yahudi, Danah Zohar, manakala "God Spot" adalah hasil kajian seorang Hindu VS Ramachandran. Kedua‑dua penemuan ini disahkan dengan ayat Al-Quran (AI‑Hajj ayat 46).

...ESQ mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam...
(iv) menekankan konsep "suara hati" atau "conscience" sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan. Konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian. The Oxford Dictionary of World Religion menyebut: "In the main forms of Christianity, conscience is the absolutely inviolable and sacrosanct centre of the person as human as responsible for her or his decisions". Konsep suara hati juga merupakan ajaran agama Hindu seperti yang dijelaskan oleh Swami Vivekananda: "The Atman is the Holy Ghost of the Biblical Trinity, and the purpose of all religions is to make men heard 'the still small voice' within them". Menurut Imam Abu Al-Abbas, pendapat demikian adalah zindiq dan kufur.

(v) menjadikan logika sebagai sumber rujukan utama. Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menetapkan bahawa Al-Quran dan as‑Sunnah sebagai sumber rujukan utama.

(vi) Mengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal dan tidak sesuai dengan zaman sekarang yang serba logik. Mengingkari mukjizat adalah kufur dengan ijmak ulama kerana ia bermakna mengingkari nas‑nas Al-Quran dan Hadits Mutawatir yang mensabitkan mukjizat bagi para Nabi AS.

...ESQ kufur karena mMengingkari mukjizat dan menganggapnya tidak dapat diterima oleh akal...
(vii) menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk menafsir Al-Quran. Rasyad Khalifah mengaku dirinya sebagai rasul dan membawa agama baru yang dinamakan "submission." Teori Kod 19 dianggap lebih tinggi daripada Al-Quran kerana mengikut teori ini, ayat‑ayat Al-Quran perlu dibuang atau ditambah bagi menyesuaikan dengan Kod 19.

(viii) menyamakan bacaan Al-Fatihah sebanyak 17 kali sehari oleh orang Islam dengan amalan Bushido oleh orang Jepun yang berteraskan ajaran Buddha.

(ix) mendakwa bahawa kekuatan luar biasa seperti mukjizat boleh berlaku melalui rumus Zero Mind Process (ZMP). Dengan rumus ZMP ini, ESQ mengiaskan bahawa mukjizat Nabi Musa AS diselamatkan daripada Firaun boleh juga berlaku kepada orang lain seperti yang berlaku kepada juruterbang Kapten Abdul Razak. Kefahaman mukjizat seperti ini merupakan ajaran a.aama Hindu seperti yan.g diterangkan oleh Swami Vivekananda: 'When Jesus healed, they called it a miracle". What is a miracle? A supernatural even says the dictionary. "Applied Raja Yoga", says the Yogi. "Just because you don't understand it, you call it a miracle. We know what it's about. It's natural to its".

...ESQ menafsirkan makna kalimat syahadat dengan "triple one" yang digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan Konsep Trinity...

(x) menafsirkan makna kalimat syahadat dengan "triple one". Ini adalah tafsiran bid’ah dan sesat. Dalam konteks akidah, "triple one" digunakan oleh Kristian untuk menghuraikan Konsep Trinity. Buku "Christianity For Dummies", ketika menguraikan konsep ini menyatakan: "The Trinity: How 1 + 1 + 1 Equals 1. Christianity says that God is Trinity ‑ one God expressed in three beings. The term trinity means: "three‑oneness.”

(b) Mana‑mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang. dinyatakan dalam perenggan (a).

Bertarikh 10 Jan 2010
[PMWP/100/20 Klt. 2; PN(PU2)530/VI]

Datuk Hj. Wan Zahidi bin Wan Teh
Mufti Wilayah‑Wilayah Persekutuan

Rabu, 23 Jun 2010

Dadih dan kek

Assalamualaikum...suara anak kecil kedengaran dihadapan rumah sebaik aku menjejak kaki ke dalam rumah baru balik dari kerja. "Kakak cuba tengok sapa depan tu," kataku pada Najwa Shakirah anak gadis ku." Budak jual dadih dengan kek,"kata anak gadisku. Tanpa berlengah aku hulur duit pada anakku supaya membeli dadih dengan nilai wang yang aku beri. " Kalau ada lebih baki, kakak derma sahaja pada budak tu,"tambahku lagi. Budak perempuan itu berpaling kepada ayahnya yang menunggu diatas motorsikal sambil mengangkat duit meminta baki. Berkaca anak matanya, mengukir satu senyuman dan berlari riang bila dadihnya laku. Anak gadisku tersenyum simpul melihat gelagat kanak-kanak perempuan tersebut. "Kakak beruntung kak, sebab ayah mampu memberi akak belanja cuba kakak yang berada ditempat budak tu, nak tak kakak jual dadih."


Sebenarnya kanak-kanak perempuan sudah datang kerumahku dua minggu lepas, tapi kerana ketika tu aku sangat letih dan marah kerana bebanan kerja. Aku jadi amat sombong dan tindakan sepontanku amat bodoh. "Tak nak", bila kanak-kanak perempuan tu menunjukkan dadih dan kek pada ku. Budak itu berlari kearah ayah yang sedang menunggu diatas motorsikal. Assalamualaikaum..katanya pada rumah jiran sebelah pula. Bila kanak-kanak perempuan tu hilang dari pandangan hati jadi sebak kerana dalam usia ini sepatutnya dia sedang bermain atau menonton saluran kegemaran di rumah. Kesusahan mengajar kanak-kanak perempuan ini menghargai setiap masa yang terluang dan membantu keluarga menambah pendapatan. Kesal dan rasa marah atas tindakan bodoh aku anak bujang ku jadi mangsa kerana tak mahu berkongsi makanan bersama kakaknya. "Adik tau tak. anak orang lain mencari duit untuk makan tapi adik berebut nak makan.". Bergenang air mata anak bujang aku bila suara tinggi terlepas dari mulut. Dalam usia sebelas tahun terkebil-kebil matanya memandang ke arah aku.


Hari ini hati aku puas kerana dengan nilai duit yang tak seberapa tu aku berjaya menimbulkan senyum pada bibir kanak-kanak perempuan tersebut. Pada suatu ketika dahulu aku pernah berada dalam situasi yang sama dengan kanak-kanak tersebut. Aku pernah susah.

Inilah budak perempuan yang aku maksudkan

Rabu, 19 Mei 2010

Hari Terakhirku Bersamanya

Angah kata rupa saya seperti jutawan Lubnan..gurauan terakhir dan riang hatinya melihat saya..saat indah bersamanya akan kekal bersama saya hingga akhir hayat yang tak akan saya kongsi bersama orang lain.

Allahyarham Al Fadhil Ustaz Hj Zuber Hj Abdul Kudus

1941 - 2010



Rupanya sambutan hari keluarga yang berlangsung pada 15hb hingga 16hb Mei merupakan hari terakhir keluarga Othmina bersama penaungnya iaitu Almarhum Al Fadhil Ustaz Hj Zuber Hj Abdul Kudus kerana kembalinya kerahmatullah ustaz pada 18hb Mei 2010 jam 7.15 pagi di hospital Tunku Najihah Kuala pilah pada usia 69 tahun kerana serangan jantung. Seringnya gurauan Angah Korol panggilan beliau oleh saya masih terbayang lagi. Cerianya beliau semasa sambutan hari keluarga ini berlangsung..Kami sekeluarga masih lagi bersemangat bercerita tentang hari keluarga ini. Balik dari masjid pagi 18hb itu, kira-kira jam 6.15 orang rumah mengajak tengok angah katanya. Rupanya pagi pagi terakhir kami bersamanya. Bagi saya bukan serangan jantung yang menjadi penyebab tetapi kerana ALLAH lebih menyayangi Pak Ngah. Insyallah kenangan bersama beliau akan kekal bersama saya selamanya. Alfatihah untuk Pak Ngah..semoga tergolong dalam kumpulan orang yang beriman dan lindungan ALLAH..amin

Ahad, 16 Mei 2010

Hari Keluarga Othmina 2010







Hari ini pada 15hb hingga 16hb Mei keluarga Othmina telah mengadakan perjumpaan keluarga di KM Chalet Kuala Linggi Melaka. Hampir sepuluh keluarga Othmina berkumpul bagi menjaya perjumpaan ini. Perjumpaan bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturrahim dikalangan ahli keluarga yang terpisah dek masa dan kerja. Beberapa acara telah dijalankan bagi pengisian program ini. Walaupun terdapat beberapa ahli yang berada di luar negara tetapi pihak urusetia berjaya berhubung dengan mereka melalui Skype secara langsung dari Coventry , London. Kesayuan menyelubungi kaum ibu bila melihat anak berada di skrin computer. Deraian air mata seiring bersama ucapan kerinduan kepada anak diperantauan. Namun melihat keletah anak cucu mengambil bahagian dalam acara yang disediakan akhirnya derai tawa kaum ibu menjelma semula. Diharap program ini akan diadakan lagi pada masa hadapan.

Ahad, 2 Mei 2010

Tekat

TENUNAN SONGKET

Sejarah Songket

1. Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.
2. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
3. Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.
4. Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan strata atau kedudukan seseorang.
5. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.
6. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.
7. Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
8. Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenuna atau kek, motif dan ragamhiasnya sera cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.


Motif
1. Ragamhias masih dipertahankan terutama dalam aspek pembahagian dan penempatan beberapa bentuk bahagian kain seperti kepala, kaki dan badan kain.
2. Penyusunan motif pula terbahagi kepada dua susunan bunga penuh dan bunga tabur.
Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuhan.
3. Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.
4. Motif-motif rekacorak yang menghiasi kain songket kebanyakannya berasaskan bunga-bungaan.
5. Dengan teknik menenun yang tersendiri, kesemua bentuk motif terhasil dalam corak geometric.
6. Motif-motif pada kain songket disusun dengan susunan bunga penuh, bunga bertabur atau susunan bercorak.
7. Motif pucuk rebung dan lawi ayam sering ditempatkan dikepala kain.
8. Manakala motif 'awan larat' pula dijadikan sebagai kaki kain (border design).
Susunan Motif Songket

1. Susunan bunga penuh

corak penuh bersulam juga dikenali songket cuban. Motif benang emas dan perak ditenun memenuhi keseluruhan kain.

2. Susunan bunga tabur

corak ditenun secara bertaburan dan tidak terikat atau berangkai antara satu sama lain. Motif bunga yang ditenun ialah bunga tanjung, bunga buah cermai, bunga buah kesemak dan lain-lain. Taburan pada kain songket juga dilengkapi dengan garisan corak di kepala dan kaki kain.

3. Susunan bercorak


susunan motif dibuat secara jaluran berdiri atau melintang.

Proses Tenunan Songket


Kek Tenun

Bahan dan Alat

Benang dan pewarna ialah bahannya. Alatnya pula terdiri daripada kek tenunan, kek mengarat, rahak, peleting buluh (bobbin), lidi daun kelapa, papan gulung, anak kayu, dua belira, sikat dan jentera, jarum culik, batang anak kayu, kayu karat, benang losen, lidi nibung atau buluh, benang batang bunga songket, darwin pakan, darwin benang emas, cuban, torak pakan, torak benang emas dan sumbi.

Teknik dan Proses

Setelah benang dibersihkan dan dimasukkan ke dalam pencelup warna, ia dibilas dengan air dan dijemur hingga kering. Lapan proses lagi yang terlibat sebelum sesuatu tenunan boleh disiapkan ialah melerai, menganing, menggulung, menyampuk, menghubung, mengarak, menyolek dan menenun.

1. Melerai

Benang yang telah kering dimasukkan ke dalam sejenis alat yang bernama rahak untuk diputarkan pada satu alat yang bernama peleting. Proses ini dipanggil melerai. Terdapat dua jenis rahak, iaitu darwin pakan dan darwin emas. Darwin pakan digunakan untuk benang pakan sahaja. Ia diperbuat daripada buluh dan tali atau rotan. Darwin emas pula digunakan untuk benang emas sahaja dan diperbuat daripada kayu atau dawai kerana benang emas kasar dan berat.

2. Menganing

Benang yang telah menjalani proses melerai dimasukkan ke dalam alat menganing untuk menentukan ukuran panjang benang yang hendak dimuatkan pada alat ini. Biasanya segulung benang pakan atau seloseng yang berukuran 26 - 31 m boleh menghasilkan 12 - 14 helai kain.

3. Menggulung

Benang yang telah dianing akan digulung pada papan gulung mengikut lebar gigi jentera dan panjang losen pada papan gulung yang hendak dipasung. Losen ialah benang yang memanjang pada kek. Kedudukan benang perlu diperiksa setiap tiga kali menggulung untuk memastikan susunan kemas.

4. Menyampuk

Menyampuk ialah proses memasukkan benang losen ke dalam gigi jentera atau sikat. Biasanya, proses ini dilakukan di dalam kek mengarak supaya senang untuk menyampuk benang kepada jentera. Setiap lubang sikat disusukan dua urat benang losen. Pada kedua belah hujung sikat itu disusukkan empat urat benang supaya tepi kain tidak terkoyak apabila disangkutkan pada kayu sumbi kain. Sumbi kain ialah sebatang anak kayu yang mempunyai paku di kedua-dua belah hujungnya. Sumbi kain menjaga tepi kain tenun supaya sama jarak dan tidak berkedut.

5. Menghubung

Menghubung ialah proses menyambungkan benang daripada losen kepada benang yang tertinggal pada jentera. Cara ikatannya dipanggil ubung tindas. Proses ini bertujuan menyambungkan benang losen untuk menenun. Meja kecil dinamakan meja hidangan berukuran 10 cm panjang, 8 cm lebar dan 20 cm digunakan untuk menghubung.


6. Mengarak

Kerja mengarak dilakukan setelah selesai proses menyampuk. Mengarak dilakukan dengan melilit benang asing atau benang karat kepada kayu karat, termasuk benang losen. Jumlah karat yang digunakan biasanya hanya dua karat dan setiap karat mempunyai empat batang anak kayu.

7. Menyolek

Kerja menyolek bunga merupakan kerja yang paling rumit dalam proses menenun kain songket. Cara menyolek reka corak adalah dengan menyusulkan lidi-lidi buluh pada benang losen yang dikehendaki. Biasanya kain songket ditenun dengan teknik tekat tiga atau tekat lima. Jika menggunakan tekat lima, setiap lima unit benang losen, satu benang alas ditolak ke bawah dan benang-benang alas ini disengkang pula dengan belira. Setelah benang losen berada di atas, barulah kamu boleh menyolek dalam pelbagai corak pada benang losen dengan menggunakan lidi buluh. Belira dimasukkan pada setiap lidi buluh tadi mengikut giliran. Belira ditegakkan untuk menyenangkan ikatan benang butang. Butang-butang inilah yang akan menjadikan corak atau motif bunga di atas kain songket. Apabila selesai proses menyongket, benang losen bersama karat-karatnya ditukar ke kek tenun untuk ditenun agar menjadi kain songket.

8. Menenun

Menenun adalah proses terakhir, iaitu benang losen dipangkah oleh benang pakan untuk dijadikan kain. Bagi kain songket bercorak penuh, benang emas dilayarkan melalui torak benang emas untuk menghasilkan sulaman motif bunga atau hiasan reka corak penuh. Bagi kain songket corak melintang atau corak bunga bertabur, benang emas dilayarkan melalui cubaan untuk mendapatkan motif-motif yang dikehendaki. Lazimnya selepas satu benang emas dilayarkan, ia dikepuh (beat) dan diikuti pula dengan melayarkan dua benang pakan. Penenun akan menukarkan benang butang mengikut giliran dan corak yang telah ditentukan. Proses ini diulangi sehingga menghasilkan sehelai kain songket.

Isnin, 26 April 2010

Memori Reunion MPRM 87/89









Hari ini ketika sedang melayari fb mata terpandang wajah seorang rakan yang sama belajar di MPRM dulu telah pun meninggal. Rakan baik semasa di maktab, rakan serumah dan juga rakan sebilik. Arwah Yazid Md Ahad, orang Melaka dan sekolah terakhir di Gemencheh. Kenangan bersama beliau dan rakan-rakan mengimbau kembali. Niat untuk berehat sementara menulis dalam blog ini saya batalkan. Terampunkah dosa-dosa saya kepada arwah ketika hidupnya dulu. Bila terkenang rasa takut menjelma dalam benak ini. Ya ALLAH ya TuhanKu..ampunkanlah dosa arwah jika ada dosanya kepadaku..letakkanlah beliau dalam orang yang kau kasihi dan tempatkanlah beliau dikalangan mereka-mereka yang beriman. Genang air mata tak dapat saya tahan, setitis demi setitis mengalir juga ke pipi ini. Lebur egoku sebagai lelaki. Ah kenapalah terlalu mahal air mata ini untuk seorang rakan. Ya ALLAH seorang rakan hampir saya lupa juga telah meninggal dunia saudara Azman atau lebih dikenali dengan nama Man Achong. Bila dikenang rakan-rakan yang telah pergi ini hati sayu menjelma rasa keinsafan. Bila saya tiada nanti adakah diingati oleh rakan-rakan seperjuangan baik yang lama mahu pun rakan yang baru.

Sekarang saya telah berjaya berhubung dengan rakan semasa di MPRM pada tahun 1987 hingga 1989 . Telah beberapa kali kami berjumpa. Bila kali pertama berjumpa semasa mereka datang ke Negeri Sembilan dahulu rasa gamam dan gembira lahir bersama. Rupa , watak dan ragam masih lagi sama , cuma fizikal agak berbeza. Ah! sudah berusia rupanya kita, rambut banyak yang sudah beruban dan banyak juga gigi yang sudah tanggal. Buat sahabat saya ucapkan selamat bertemu kembali dan bertambah eratlah hendaknya persahabatan kita ini dan tak keterlaluan juga saya katakan mungkin satu hari nanti agaknya kita berbesan. ALLAH Maha Besar. Amin

Kepada rakan-rakan lain marilah kita sambung balik persahabata kita ini. Janganlah terkongkong oleh kelas kita dahulu. Mari sama meriahkan perjumpaan demi perjumpaan kita yang akan dirancang oleh kita sendiri. Salam juga untuk sahabat yang bukan Melayu, jom kita kenalkan keluarga kita kepada rakan-rakan MPRM 87/89. Johor akan menjadi lokasi perjumpaan kita seterusnya.