Ahad, 21 Februari 2010

Emak dan Kenangan bersamanya

Hari ini saya balik kampung bukan kerana tak pernah balik kampung namun bila balik hujung minggu masa saya agak terhad bergerak dalam kampung sendiri. Tapi kali ini lebih banyak masa saya habiskan kerana saya balik seorang diri sebab akak dan anak-anak buah ku pergi melancong ke Cameron Highland. Sesampai di kampung ketika waktu asar sudah hampir habis dan saya hanya melintas bilik sambil tunjukkan muka kerana hendak solat dulu. Selepas solat bibik datang dan berkata bahawa emak merajuk kerana saya tidak jenguk beliau. Sebak pula dada bila bibik berkata begitu. Saya bangkit dan terus menuju ke bilik emak. Saya lihat emak terbaring diatas katil sambil tersenyum memandang. Emak apa khabar, demam ke? kata saya membuka bicara. Tak..balas emak. Retak kedut muka emak amat ketara sekali. Keuzuran tidak menghalang emak untuk merajuk kepada saya. Seperti biasa bila balik saya akan baring disisi emak sambil mengusap rambut dan mengeletek perut emak. Emak ketawa berdekah-dekah bila saya berbuat begitu. Ah lega rasanya bila emak ketawa dan ini menunjukkan rajuknya telah reda. Saya lihat emak terlalu uzur untuk bangun, namun beliau minta saya dudukkannya kerana letih baring katanya. Saya lihat wajah inilah pada suatu ketika amat kental jiwanya mengasuh anak-anak dan berjuang membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga di tanah buni felda, Felda Sendayan. Wanita inilah yang berjalankan kaki sejauh 5 kilometer ke kebun getah bagi menyara hidup sementara ayah berkerja di Lembaga Letrik Negara di Port Dickson. Tidak pernah sekali pun saya dengar kata-kata kesal dari mulutnya biar pun baru 2 minggu melahirkan saya (yang pernah diceritakan kepada saya) beliau telah pun pergi ke kebun bagi menoreh getah. Ketika usia saya 11 tahun saya telah mengikut emak pergi menoreh ke kebun dengan berjalan kaki. Gagah kakinya melangkah meninggalkan saya dibelakang sambil berlari-lari anak. Hari ini emak terlantar diatas di atas katil hilang sudah kegagahannya yang hebat satu ketika dulu. Emak bergerak hanya menggunakan kerusi roda yang ditolak oleh bibik. Namun dari kedutan wajah ini masih saya nampak jiwa kental dan wajanya emak mengharungi sisa-sia hidupnya. Tidak pernah beliau menyerah kalah dengan keadaannya itu. Saban pagi beliau akan keluar rumah dan menyentuhkan kakinya ke embun yang ada di rumput halaman rumah. Ikut cara arwah Abah kau..katanya. Emak masih sempat menjenguk sekitar kampung walaupun dengan hanya berkerusi roda. Bibik adalah peneman setia emak, apa yang emak cakap tak pernah dibantah. Emak risau sebab bibik akan tamat khidmatnya pada bulan 2 ini, tapi tanpa emak sedari Kakak saya telah pun melanjutkan khidmat bibik ke satu tempoh yang bibik ini hendak.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan