Isnin, 14 Disember 2009

Keris ... senjata atau kraf

Kajian ini akan membincangkan perkembangan inovasi modul pengajaran dan pembelajaran melalui perubahan-perubahan yang diperkenalkan kepada sistem pendidikan negara sejak Laporan Kabinet 1979, yang merupakan satu ambang perubahan penting dalam sejarah pendidikan negara hingga ke masa kini. Laporan Kabinet 1979 telah membawa satu reformasi dalam pendidikan yang melahirkan KBSR (1983) dan KBSM (1989). Reformasi ini telah mengubah asas falsafah pengajaran dan pembelajaran di sekolah daripada falsafah tradisional kepada falsafah pendidikan progresivisme dan rekonstruksionisme. Anjakan ini telah memberi implikasi terhadap ilmu dan cara pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan, daripada pendekatan transmisif dan didaktik kepada pendekatan dialektik dan interaktif; daripada berpusatkan isi kandungan dan guru kepada berpusatkan bahan dan pelajar; daripada pendekatan kurikulum yang rigid kepada pendekatan yang lebih fleksibel dan bersepadu; daripada pengajaran seluruh kelas kepada pengajaran berasaskan kumpulan; daripada penyertaan pasif pelajar yang menerima apa yang disampaikan oleh guru kepada penyertaan secara aktif mencari maklumat yang boleh digunakan dalam situasi yang berbeza-beza; daripada strategi dan suasana pengajaran yang seragam kepada strategi dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai. Dari segi epistemologinya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran lebih cenderong kepada pembelajaran berasaskan pengalaman dan kaedah inkuiri di mana pembelajaran berlaku melangkaui sempadan bilik darjah.

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang diperkenalkan dalam tahun 1988, bukan sahaja memantapkan lagi asas pembinaan modul pengajaran dan pembelajaran yang dianjurkan oleh Laporan Kabinet, ia juga melebarkan dimensi merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang perlu digunakan oleh guru. falsafah pendidikan negara yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu, menuntut kepada strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pembentukan insan bersepadu yang berkeupayaan meneroka ilmu dengan menggunakan akal fikiran dan daya taakulan yang tinggi. Insan berfikir dan bersepadu ini menjadi landasan penting kepada pembentukan masyarakat pembelajaran yang bukan sahaja menjadi pengguna ilmu tetapi juga penyumbang ilmu. Anjakan epistemologi pedagogi yang dibincangkan di atas, memerlukan perubahan peranan guru kepada menyediakan ruang dan peluang untuk membolehkan pelajar menerokai lima sumber pengetahuan iaitu pengetahuan yang diwahyukan, pengetahuan intuitif, pengetahuan autoritatif, pengetahuan rasional dan pengetahuan empirikal.

Dalam merancang penerokaan mengenai pengetahuan, pengetahuan semasa perlu ada untuk merancang modul pengajaran dan pembelajaran ini. Guru perlu menggunakan akal fikirannya bagi memperkembangkan empat jenis potensi iaitu rohani, intelek, emosi dan jasmani secara seimbang dan bersepadu. Pembelajaran berasaskan pengalaman menjadi strategi yang utama di mana pelajar sendiri yang mengawal pembelajarannya. Inovasi pedagogi yang disarankan dalam KBSR dan KBSM menekankan kepada pemerolehan ilmu pengetahuan, peningkatan daya intelek, penguasaan kemahiran belajar, pemupukan dan penerapan nilai, penguasaan dan penggunaan bahasa serta kesepaduan mata pelajaran. Ini boleh dicapai melalui pendekatan pemikiran merentas kurikulum, bahasa merentas kurikulum dan nilai merentas kurikulum.

Perkembangan yang berlaku dalam KBSR dan KBSM mempunyai implikasi kepada pendidikan guru. Pada tahun-tahun 80an, pendidikan guru di Malaysia telah dilanda oleh pelbagai inovasi sejajar dengan kehendak dan matlamat KBSR dan KBSM. Keupayaan untuk meningkatkan pembelajaran daripada pengalaman adalah merupakan tumpuan utama kepada perkembangan profesionalisma guru. Konsep guru sebagai penyelidik (Stenhouse), penyelidikan tindakan (Carr & Kemmis), pengamal reflektif (Schon) dan pembelajaran melalui pengalaman (Kolb) adalah merupakan inovasi-inovasi yang dicetuskan daripada perkembangan profesionalisme yang memberi tumpuan penting kepada belajar menerusi pengalaman. Pengenalan “innovatory concepts” tersebut adalah satu gambaran tentang '‘internationalisation of thinking’ berkenaan pengajaran dan pembelajaran.

Tahun 90an menampakkan peningkatan dalam penggunaan teknologi dalam merancang modul-modul pengajaran dan pembelajaran. Ini seterusnya menuntut kepada inovasi yang lebih berbentuk perubahan yang radikal sesuai dengan perubahan pesat dan pantas yang berlaku dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi. Konsep Sekolah Bestari yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan menjadikan teknologi sebagai pengupaya utama dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. Budaya sekolah perlu berubah daripada budaya hafalan kepada budaya berfikir yang kritis dan kreatif dengan teknologi sebagai pengupaya utama.

Walaubagaimana pun idea-idea inovasi ini perlu diuji dalam konteks budaya tempatan. Idea-idea tersebut merupakan ‘global market of free floating ideas’. Kesesuaian dan potensi untuk menggunakannya adalah berlainan dari satu negara ke negara yang lain. Idea-idea yang baru ini diperkenalkan selain bertujuan untuk mengayakan pengalaman pengajaran pembelajaran di Malaysia, ia juga bertujuan untuk menghasilkan guru sebagai pengamal reflektif. Oleh yang demikian, mungkin lebih wajar jika kita meninjau impak inovasi tersebut ke atas keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam sistem persekolahan di Malaysia.

Penulis merasakan bahawa satu kajian harus dilakukan bagi membina satu modul pengajaran dan pembelajaran kraf keris dalam sistem pendidikan di negara ini. Berasaskan kepada pengalaman penulis sebagai guru dimana kraf keris pada hari ini diajar sebagai salah satu bahan senjata. Tiada kajian atau tindakan yang dilakukan oleh pengamal-pengamal pendidikan di negara ini untuk menaikkan martabat keris sebagai salah satu cabang kraf tradisional. Dalam sistem kurikulum pendidikan seni visual di sekolah menengah hari ini merangkumi perkara yang berkaitan dengan seni halus, komunikasi visual, rekabentuk dan kraf tradisional. Pelajar-pelajar akan dilatih untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih luas sama ada daripada aspek estetik mahupun gunaan. Melalui kefahaman aspek diatas, pelajar-pelajar dapat diterapkan dengan penghayatan warisan seni visual dan mengamalkannya dalam kehidupan, terutamanya dalam meningkatkan nilai hidup. Pendidikan Seni Visual di dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud pendidikan seni tampak. Ia ditujukan ke arah melengkapkan perkembangan diri seseorang melalui nilai peribadi individu dan memupuk kesedaran terhadap kegunaan seni dalam kehidupan sehari-hari serta penghargaan hasilan seni sebagai sumbangan kepada pemeliharaan warisan budaya dan identiti bangsa, negara kita Malaysia. Modul pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni lebih kepada menegaskan kegiatan di dalam proses penghasilan seni dengan memberi tumpuan kepada kesungguhan kerja. Ini adalah kerana penglibatan di dalam kegiatan seni bukan sahaja menyentuh perasaan estetik dan daya kreatif seseorang melalui penajaman daya intuisi, persepsi dan konsepsinya, malah boleh mengujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat dan kemampuan diri dalam bidang seni. Sifat-sifat tersebut akan menjadikan dia lebih perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupannya. Setiap orang pelajar mempunyai kebolehan ini dengan kadar kemampuan masing-masing.

Dalam merancang satu modul baru bagi Kurikulum Pendidikan Seni Visual, iannya akan merangkumi semua cabang seni dan juga semua hasilan kraf kerana bidang kraf sudah bertapak di negara Malaysia ini sejak awal-awal penubuhannya lagi. Pendidikan Seni Visual juga telah meresap ke semua bidang kehidupan seperti bidang komunikasi, rekreasi dan persekitaran dan dalam kehidupan sehari-hari. Pengetahuan dan kemahiran seni juga mempunyai aplikasi dalam teknologi perusahaan dan juga pengeluaran. Setiap manusia memang ternyata sekali pada hakikatnya terlibat dengan seni dalam sebarang kegiatannya. Dalam pendidikan seni visual perkara ini sentiasa dijadikan keutamaan dalam melaksanakannya. Pelajar dilatih melihat sesuatu daripada perspektif yang lebih luas merangkumi aspek estetik di samping fungsionalnya. Pertimbangan estetik ini kelak boleh menjamin peningkatan mutu perusahaan dan pengeluaraan sesebuah negara. Manusia menggunakan seni untuk menyatakan hasrat, idea, nilai dan pandangannya mengenai berbagai bidang kehidupan yang dialaminya. Oleh itu seni melambangkan tamadun dan budaya sesuatu masyarakat.

Kajian modul kraf keris dalam Kurikulum Pendidikan Seni merangkumi kajian penghargaan mengenai hasilan seni di dalam budaya merupakan suatu bahagian yang sangat penting. Bidang ini menegaskan kajian hasilan seni setempat dan kebangsaan serta juga unsur-unsur seni dalam alam sekitar dan dalam urusan kehidupan seharian. Melalui kefahaman tentang hasil-hasil seni negara, penghargaan terhadap penyumbang dan juga pengamal-pengamal warisan budaya ini dapat dipupuk dan disemai sejak awal lagi. Dengan itu penerapan sentimen kebangsaan dan nilai-nilai kewarganegaraan dapat mengeratkan lagi persefahaman di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa , agama dan budaya di negara ini. Masyarakat yang celik seni dan budaya akan menggalakkan lagi perkembangan seni yang menuju ke arah memperbaiki nilai-nilai hidup.

Selain itu modul pengajaran kraf keris ini juga akan menjadikan masyarakat akan lebih celik seni dan menghargai keindahan dan keharmonian alam dan masyarakat serta akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memeliharanya. Modul pengajaran kraf keris dalam Kurikulum Pendidikan Seni ini juga akan menegaskan tentang kegiatan-kegiatan pembuatan, gubahan dan kajian pengamatan melalui proses inkuiri. Aspek mencuba, mereka cipta melalui pengolahan berbagai bahan, alat dan teknik rekaan dijadikan teras untuk pelbagai kegiatan kesenian dan kraf. Proses penghasilan dan analisa modul pengajaran dan pembelajaran kraf keris dalam pendidikan seni ini lebih bertujuan memberikan setiap pelajar peluang membuat sintesis pengalaman untuk menjadikan dia seorang yang yakin untuk berhubung melalui seni. Pelajar akan didedahkan dengan ilmu seni visual yang berkaitan dengan bidang penghasilan kraf keris dan akan menerapkan budaya menghargai serta mengaplikasikan ilmu yang diperolehi bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan