Isnin, 14 Disember 2009

Kraf Keris...satu persoalan

Daripada huraian yang diberikan oleh penulis diatas tadi dapat dibuat satu kesimpulan bahawa kemasyarakatan, kebudayaan dan kesenian khasnya kraf keris merupakan suatu hasilan oleh orang Melayu yang sangat menarik untuk dijadikan bahan kajian. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa telah ramai sarjana di negara ini yang membuat penulisan dan kajian mengenai kraf keris ini. Namun berapa ramaikah didalam penulisannya mengalakkan pelajar atau orang ramai sentiasa menyemaikan semangat ingin mengetahui bahawa kraf keris ini telah mula ditelan oleh arus pembangunan dan kemajuan. Persoalan kajian yang muncul dari keadaan ini ialah:

1. Bagaimana cara untuk membina satu modul pengajaran dan pembelajaran yang baru dalam sistem pendidikan kita kerana keris telah diperkenalkan dalam kurikulum sebagai senjata yang sama tarafnya dengan parang dan kapak.
2. Dalam permasalahan menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran kraf keris ini juga ianya berkaitan dengan bagaimana menjadikan satu pengajaran dan pembelajaran kraf keris dalam bentuk menghasilkan bahan atau produk keris.
3. Perlu ada satu modul pengajaran dan pembelajaran mengenai kraf keris ini kerana ianya semakin dilupakan oleh generasi masa kini yang mana mula melenyapkan kepentingan kraf keris dalam kehidupan kita pada masa kini.

A- Pengajaran dan Pembelajaran Kraf di Sekolah Menengah

Penulis merasakan bahawa pembinaan satu modul pengajaran dan pembelajaran kraf keris ini perlu dibuat adalah kerana atas rasa tanggungjawab bagi memertabatkan lagi kraf keris sebagai kraf tradisional. Selain itu memberi peluang kepada pelajar di sekolah menenggah tahu, faham dan mengetahui fungsi keris dalam kehidupan baik dari segi budaya dan juga sejarah. Kajian ini akan memberi keutamaan kepada masalah fungsi dalam memperkatakan tentang kraf keris bukan sahaja sekadar menyentuh masalah bentuk tetapi juga menyentuh makna simbolik dan estetik. Fungsi bentuk dalam kraf juga bukan hanya mementingkan masalah kegunaan dan pemakaian bentuk yang dicipta seperti periuk belanga daripada tanah, bakul daripada rotan, buluh, daun pandan seperti apa yang berlaku sejak zaman Neolitik tetapi bagaimana tukang atau pereka kraftangan telah melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam memenuhi kehidupan bersama. Pakaian Melayu tradisi tidak akan sempurna hanya dengan baju, kain, seluar, samping tetapi harus dilengkapi dengan ’lima persalinan’ disertakan dengan destar, malah keris, bengkung, dokoh atau gelang kaki. Tentang kepakaran mencipta, mengolah bahan, malah mencipta motif hias ramai pakar Barat menganggap bahawa budaya Melayu dibantu oleh keahlian tukang seperti dibawa oleh budaya Dong-son sejak awal abad 8 SM (Warming, 1981:13). Mungkin mereka membandingkan masalah teknik ikat seperti cindai atau petola dari India atau motif keluk dan meader yang banyak menghiasi pua kumbu.

Oleh kerana sejarah kraftangan memang panjang, kita sering mengganggap bahawa hasil budaya material ini selalu bersifat ’tanpa nama’. Tidak dikenali siapa penciptanya. Ciri-ciri konvensional ini sesuai dengan bentuk kraftangan itu sendiri. Ia dipunyai bersama malah dibentuk dan dicipta bersama. Sebuah bakul misalnya dari peringkat permulaan memperlihatkan ciri-ciri kebersamaan ini dimana sejak dipotong daun mengkuang, pandan atau buluh sehingga kepada membersih, mengering hinggalah ke proses mengayam selalunya dilakukan bersama. Sebagai warisan sejak ribuan tahun dahulu , kraftangan dapat dikategorikan ke dalam kelompok kesenian rakyat (folk arts). Istilah tradisi lisan seperti yang dikemukakan oleh Mohd Taib Osman misalnya turut meletakkan kraftangan sebagai karya seni rakyat daripada ciri-ciri budaya material sebagai sebahagian daripada pengajian Melayu serantau.

Di Eropah sendiri kajian budaya material sejajar dengan pertumbuhan ilmu etnografi, pengumpulan bahan-bahan seni rakyat Dunia Ketiga terutama dengan timbulnya minat pengumpulan benda budaya yang sering mendapat jolokan seni primitif. Muzium etnografi Jerman dan Perancis pada akhir abad ke-19 memberikan pandangan yang khusus dalam mendokumentasikan hasil seni budaya dari Dunia Ketiga ini. Begitu juga peranan pelukis yang terus mengangkat patung dan kraftangan Afrika telah turut menaikkan imej kraftangan. Seorang pengkaji kesenian tradisi Jepun, Kageo Muraoka mencatatkan dalam bukunya, The Basic Attribute of Folk Craf is Utility, The Objects Practical Value (1976:103) bahawa dalam proses perkembangan kraftangan, kedua-dua unsur iaitu fungsi dan estetik adalah penting. Walaupun kraftangan merupakan kerja warisan namun ilmu yang kita perolehi tidak boleh diabadikan. Manakala estetik melibatkan kesedaran dari dalam jiwa yang berkembang berkat ketelitian dan rangsangan ingin menubuhkan citarasa peribadi tukang dan pandai kraf sendiri. Yang agak menarik perkembangan kraftangan kita pada hari ini ialah penglibatan tukang atau pandai kraf dalam suasana baru. Mereka bukan sahaja melanjutkan warisan seni lampau malah turut mengolah kembali melalui daya cipta peribadi yang unik.

Berdasarkan model seni sebagai pengajaran dan pembelajaran, pendidikan kraf mungkin mewakili pendekatan terbaik kepada realiti ekonomi dan tanggungjawab sosial. Cuba pertimbangkan pembuat tembikar, pandai besi, tukang kayu dan pereka pakaian , tradisinya lahir daripada reka bentuk bagi utiliti, penghasilan seni untuk kegunaan individu dan seni yang berguna bagi orang ramai. Sementara sesetengah orang menganggap kraf sebagai mode pengeluaran yang ketinggalan zaman, kita tidak dapat nafikan implikasi ekonomi yang mana mengalir dalamnya nilai-nilai pendidikan. Nilai-nilai dan kesannya yang pertama ialah memajukan kemahiran tangan. Nilai ini berkait rapat dengan identiti manusia. Meskipun penggunaan komputer yang semakin meluas , guru masih bekerja dengan menggunakan tangan. Di samping kepuasan yang diperolehi kerana menggunakan tangan, membina kekuatan minda dan meningkatkan koordinasi mata-tangan, ianya juga meningkatkan kepuasan diri.

Nilai yang kedua pula ialah untuk mempertingkatkan idea hubungan bentuk dengan fungsi. Konsep yang nampak mudah ini sukar diperolehi melalui bentuk pendidikan lain, namun ia bermula daripada aktiviti kraf murid-murid sekolah rendah. Paling menarik aktiviti ini begitu berkesan daripada sudut pandangan ahli kognitif. Misalnya membuat periuk tanah dengan menggunakan teknik lingkaran tanah liat dapat meningkatkan perkembangan konseptual aras tinggi walaupun periuk itu sendiri tidak kelihatan menarik sebagai karya seni. Nilai dan kesan ketiga pula ialah pembelajaran melalui cara mengatasi ketekalan bahan. Selain daripada kejayan peribadi menangani ketekalan bahan itu, terdapat juga penemuan bahan-bahan itu mempunyai potensi bagi digunakan dan diolah. Ini bukan sekadar penemuan psikologi tetapi mempunyai makna yang tidak terbatas yang dapat dihasilkan melalui kerja kemahiran. Ia juga bukti yang meyakinkan hasil seni adalah kewujudan ’dunia sebenar’.

Nilai yang terakhir pula ialah penguasaan proses. Kemahiran kraf memerlukan keupayaan mengoperasi alat yang digunakan dengan cara yang betul. Pengurusan yang baik tidak seharusnya anti kreativiti, ia juga sebahagian daripada kebolehan menguasai teknik. Kita berbicara tentang kemahiran kraf yang sebahagiannya dipelajari melalui pengiktirafan terdapat kaedah yang lebih baik daripada yang lain. Sementara kelemahan menguasai penggunaan alat akan membawa kepada masalah, hanya orang yang berpengalaman dan guru seni yang tahu cara mengatasai masalah ini. Mungkin ganjaran yang tinggi dalam pendidikan kraf dapat diibaratkan sebagai dividen ekonomi moral. Di sini kita mesti diajar pengunaan bahan, alatan dan proses dengan sejujur mungkin. Kemungkinan wujudnya unsur-unsur penampilan palsu dan orang yang pakar berupaya menambah nilai pada sesuatu objek bagi mengaburi pandangan orang ramai dalam usaha menarik minat pelanggan daripada sudut kegunaan, ketahanan dan nilai estetik. Daripada pendidikan seni kraf kita mempelajari banyak bentuk pemalsuan di lakukan dan ini adalah kesalahan dari segi ekonomi dan juga dari segi ekologi. Dalam kita membantu pelajar menguasai idea, kemahiran, nilai, cara berfikir, kita juga sebenarnya mengajar mereka bagaimana belajar. Hasil pengajaran jangka panjang yang sangat penting adalah peningkatan kebolehan pelajar untuk belajar dengan lebih mudah dan berkesan pada masa akan datang. Kemudahan belajar ini disebabkan oleh pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi dan proses pembelajaran yang telah dikuasai. Ini menunjukkan bagaimana pengajaran dijalankan mempunyai impak yang besar ke atas kebolehan pelajar mendidik diri mereka.

Guru yang berjaya melibatkan pelajar dalam tugasan kognitif dan sosial yang bermakna dan mengajar pelajar bagaimana menggunakannya secara produktif. Pembelajaran yang berkesan mendapatkan maklumat, idea dan kebijaksanaan daripada gurunya dan menggunakan sumber pembelajaran dengan berkesan. Oleh itu, peranan utama mengajar adalah untuk membentuk pembelajaran yang berkesan. Belajar bagaimana hendak belajar merupakan fokus utama dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran. Sesuatu model pengajaran diukur bukan sahaja sebaik mana ia mencapai objektif-objektif spesifik yang telah ditetapkan, tetapi juga sebaik mana ianya dapat meningkatkan kebolehan belajar, yang merupakan tujuan utamanya. Pelajar akan berubah apabila repertoire strategi-strategi pembelajarannya meningkat, dan mereka boleh melaksanakan pelbagai jenis pembelajaran dengan berkesan. Kajian ke atas pelbagai model pengajaran dan guru yang sentiasa berkesan telah melahirkan dua soalan asas iaitu secepat manakah pelajar boleh diajar untuk belajar dengan lebih baik dan sejauh manakah semua pelajar boleh diajar untuk belajar dengan lebih berkuasa. Bayangkan sekolah yang menggunakan pelbagai model pengajaran kraf yang bukan sahaja untuk mencapai pelbagai matlamat kurikulum, tetapi juga direkabentuk untuk membantu pelajar meningkatkan kemahiran mereka sebagai pelajar.

Semasa pelajar menguasai sesuatu pengetahuan dan kemahiran, hasil sesuatu pengalaman belajar bukan sahaja kandungan yang dipelajari, tetapi juga kebolehan yang meningkatkan apa yang diperolehi untuk menghadapi tugasan belajar masa depan dan membentuk program belajar mereka sendiri. Pembelajaran boleh dijelaskan sebagai aktiviti reflektif yang membolehkan pelajar menggunakan pengalaman lepas untuk memahami dan menilai perkara hari ini, yang seterusnya dapat mengubah tindakan pada masa akan datang serta mampu membentuk pengetahuan baru. Ini mampu dilakukan kerana kita dianugerahkan dengan otak yang dapat menunjuk arah aktiviti individu dalam bentuk dan cara yang membolehkan kita menjalani hidup dalam persekitaran yang sentiasa berubah. Teras proses pengajaran adalah penyusunan/pengaturan persekitaran yang mana di dalamnya pelajar boleh berinteraksi dan belajar bagaimana untuk belajar (Dewey, 1916). Model pengajaran adalah merupakan deskripsi persekitaran pembelajaran. Di dalamnya terangkum orientasi falsafah dan psikologi yang utama dalam pengajaran dan pembelajaran. Setiap model mempunyai asas teoretikal yang koheren, serta mempunyai sejarah yang panjang dari segi praktik dan amalannya, dipertingkatkan keberkesannanya melalui pengalaman bagi membolehkan ianya digunakan dengan selesa dan berkesan dalam bilik darjah dan lain-lain latar pendidikan. Lebih-lebih lagi kebanyakan model tersebut adalah model yang boleh diubahsuai mengikut gaya belajar pelajar dan mengikut keperluan subjek yang diajar. Selain daripada itu, model-model tersebut telah terbukti boleh digunakan dengan berkesan. Disamping telah disahkan melalui pengalaman, ianya juga disokong oleh penyelidikan yang banyak yang telah menguji teorinya dan kebolehannya mencetuskan kesan yang diharapkan.

B- Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Kraf Keris di Sekolah Menengah

Pendidikan seni adalah sebahagian daripada agenda pendidikan di negara kita. Bidang ini menggabungkan aspek teori dan amali yang menjurus ke arah pembentukan insan yang bersepadu melalui peningkatan kemahiran dan pengetahuan. Pendidikan kraf keris dalam pendidikan seni memainkan peranan dan menyumbang ke arah perkembangan mutu peribadi pelajar melalui peningkatan daya persepsi, estetika dan kreativiti. Ini selaras dengan kandungan Falsafah Pendidikan Negara yang ingin memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu di samping membentuk masyarakat yang seimbang dan harmonis (Mak Soon Sang : 1983 :125) .Bagi membincangkan teori atau isu yang berkaitan dengan pendekatan dan kaedah dalam amalan kurikulum pendidikan kraf keris dalam seni ini penulis akan membicarakan tentang pembinaan kurikulum pendidikan seni berasaskan kepada matlamat dan objektif seperti yang dicadangkan oleh Kneeth M. Lansing dan Arthur Efland. Seterusnya diperlihatkan kesesuaiannya dengan matlamat Pendidikan seni dan objektifnya di negara ini. Kedua-dua tokoh ini banyak menghuraikan tentang pembinaan kurikulum Pendidikan Seni yang meliputi aspek matlamat umum, matlamat khusus, objektif-objektif serta pendekatan yang digunakan.

Sistem pendidikan di Malaysia mempunyai matlamat yang jelas samada secara tersirat atau tersurat iaitu bagi melahirkan insan dan pelajar yang cemerlang menerusi Falsafah Pendidikan Negara. Falsafah Pendidikan Negara mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap pendidikan. Tujuan Falsafah Pendidikan ialah untuk memberi haluan dan panduan kepada pakar pendidikan untuk merancang dan mereformasikan sistem pendidikan negara berlandaskan idea, konsep dan matlamat pendidikan.

Pendidikan kraf keris dalam seni yang merupakan salah satu bidang ilmu yang terdapat dalam agenda pendidikan negara ini menjurus ke arah pembinaan insan yang bersepadu melalui peningkatan kemahiran dan pengetahuan mengenai budaya, pemikiran kreatif, nilai estetika dan produktif. Falsafah Pendidikan Negara berusia melebihi sepuluh tahun. Dan sejak akhir-akhir ini perkembangan unsur-unsur teknologi telah hebat diperkatakan. Dunia pendidikan negara ini juga telah mengalami perubahan drastik dalam pelbagai aspek. Dalam hal ini guru-guru Pendidikan Seni Visual sebenarnya memainkan peranan yang amat penting bagi menentukan kemajuan pelajar. Selama ini guru Pendidikan Seni Visual banyak terlibat dalam kerja-kerja praktikal dan kurang dalam kerja amali (Jurnal kaji Sosial : Hassan Mohd Ghazali : 1995 : 30). Sebagai guru kita seharusnya mendalami keseluruhan bidang-bidang yang berkaitan dengan seni visual. Semakin banyak pendekatan yang kita fahami maka semakin banyaklah ilham yang kita perolehi untuk merencanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan